Aug 26, 2011

Tentang Dadah.

Dadah adalah satu-satunya masalah kesihatan dan sosial paling rumit yang sedang dihadapi oleh negara. Masalah ini mula diperkatakan sejak tahun 70-an, tetapi sehingga kini masih tidak menampakkan perubahan positif hinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad terpaksa membuat teguran.

Mengikut penilaian United Nations International Drug Control Programme, dalam tahun 1993 sebanyak 24,023 orang penagih dadah telah dikenal pasti di Malaysia. Daripada bilangan ini, 59.3 peratus adalah penagih yang menagih semula, manakala sebanyak 10,216 orang telah ditangkap kerana kesalahan bersabit dengan dadah. Pada tahun lalu, tahap masalah dilaporkan melampaui tahap pada tahun 1998.

Masalah dadah sebenarnya adalah masalah sejagat. Laporan menunjukkan aktiviti penghasilan pelbagai jenis bahan dadah sentiasa meningkat. Ini disokong pula oleh permintaan yang tinggi. Berakhirnya perang dingin antara kuasa-kuasa besar dunia telah membawa kesan negatif dalam usaha membanteras dadah. Ini kerana dunia kini dianggap tidak mempunyai sempadan lagi dan semua orang bebas keluar masuk ke sesebuah negara tanpa banyak sekatan.

Tambahan pula, sistem komunikasi dan pengangkutan masa kini yang semakin canggih membantu melicinkan pergerakan penyeludupan dadah. Bagi mereka yang terlibat dengan kegiatan dadah, perkembangan seumpama ini sememangnya dinantikan kerana operasi mereka menjadi lebih lincah dan meluas.

Sebagai sebuah rantau yang dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, Asia Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial. Penggunaan dadah terutamanya di kalangan remaja amat membimbangkan dan masih belum dapat diselesaikan. Apa yang lebih membimbangkan ialah penggunaan dadah berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak dan perjudian selain daripada berbagai-bagai ancaman kesihatan.

No comments:

Post a Comment